Merenung Kembali Kepingan-Kepingan Lama

Aku bakal meninggalkan Putrajaya. Di sini setelah 3 tahun aku tinggal, aku mula berpindah ke tempat lain.

Aku mula mengemas barang-barang yang ada. Tidak banyak pun barang aku. Hanya buku-buku sahaja yang aku ada. Perabot dan lain-lain kebanyakannya kepunyaan kakak.

Rumah Sewa Putrajaya Presint 15


Aku baru sahaja membeli dua rak buku IKEA. Aku baru sahaja memasang satu daripada dua itu. Aku baru sahaja menyusun buku-buku kategori agama ke dalam rak buku baharu itu.

Dan kini, aku terpaksa mengemasnya kembali. Aku mencari kotak terbuang. Ternyata di Pasaraya Mydin aku boleh mendapat dengan percuma.

Sambil memasukkan buku-buku kesayangan aku ke dalam kotak, terbetik dalam hati aku. Ke manakah keluarga aku nanti?

Buat masa ini setelah berbincang dengan isteri aku, kami akan tinggal sementara di rumah ibunya. Aku tidak kisah. Lagipun nanti mudah untuk dia berulang balik kerja. Rumah ibunya dekat dengan tempat kerjanya.

Aku pula? Tak mengapalah. Lelaki patut beralah dalam hal ini. Keselamatan wanita lebih diutamakan.

Aku masukkan dahulu buku-buku pertanian aku. Segala buku hortikultur aku masukkan dahulu. Kerjanya mudah sahaja. Tetapi masanya lama.

Masakan tidak, sambil masuk itu sambil itulah hendak membelek-belek buku. Eh? Rasanya tak pernah lagi baca buku ini.

Kotak kedua aku masukkan buku-buku agama pula.


Kotak ketiga ini meruntun hati aku. Aku duduk termenung. Satu persatu buku aku belek. Ah. Entah kenapa hati aku berasa sebak. Semua buku ini dikategorikan dalam buku penulisan. Kaedah penulisan berjaya. Bermula daripada tatabahasa, peribahasa, sehinggalah pemahaman artikel dan penulisan sebuah buku.

Aku sedih. Ilmu-ilmu ini belum lagi aku habis hadam. Jika aku tinggal di rumah mentua nanti, siapa yang akan jaga buku-buku ini?

Adakah aku akan sempat menyempurnakan impian aku iaitu menjadi seorang penulis sepenuh masa? Aku terus termenung berfikir.


Aku bangun dan duduk di hadapan laptop. Aku mengetik 'rumah sewa bandar teknologi kajang'.

Moga aku dapat menjumpai rumah yang selesa untuk setahun ini.
Seterus
« Prev Post
Sebelum
Post Seterus »